HARI Raya Haji atau Korban mempunyai banyak keistimewaan yang harus diperbesarkan oleh umat Islam, bagi mengingati semula serta mengambil iktibar pengorbanan tiga manusia agung iaitu Nabi Ibrahim; isterinya, Hajar dan Nabi Ismail yang wajar dicontohi.
Nabi Ibrahim berjiwa kental dan mempunyai cita-cita unggul serta ketakwaan yang tinggi kepada Allah, Hajar pula solehah yang bertakwa kepada Allah sekali gus sebagai ibu penyayang yang mempunyai kesabaran luar biasa dan Nabi Ismail, sebagai anak salih berjiwa takwa, tawakal dan sanggup disembelih bapanya demi menjunjung titah perintah Allah.
Keistimewaan inilah yang harus diperbesarkan dan dijadikan teladan segenap lapisan masyarakat terutama ibu bapa, pemimpin dan juga remaja. Semangat dan ketabahan ini haruslah dijadikan landasan dalam kehidupan bagi membina sahsiah diri, kekuatan mental dan fizikal serta kesabaran dalam menghadapi ujian dan dugaan Allah.
Sesungguhnya jasa dan pengorbanan Nabi Ibrahim, sangat besar dalam menegakkan agama Allah dan membangunkan Makkah sebagai Kota Suci umat Islam yang amat penting.
Mengenai Kota Makkah, Allah berfirman maksudnya, “Di sana terdapat tanda-tanda yang jelas, (di antaranya) makam Ibrahim. Barang siapa memasukinya (Baitullah) amanlah dia. Dan (di antara) kewajipan manusia terhadap Allah adalah melaksanakan ibadat haji ke Baitullah, iaitu bagi orang-orang yang mampu mengadakan perjalanan ke sana. Barang siapa mengingkari (kewajipan) haji, maka ketahuilah bahawa Allah Maha Kaya (tidak memerlukan sesuatu) dari seluruh alam.” (Ali Imran:97).
Daripada ayat ini jelaslah bahawa pembangunan Kota Suci Makkah banyak membawa kebaikan dan manfaat kepada umat Islam. Selain ia menjadi arah kiblat ke Baitullah, kota ini juga menjadi tumpuan jutaan umat Islam untuk menunaikan haji setiap tahun. Ini dijelaskan dalam ayat sebelumnya melalui firman-Nya bermaksud: “Sesungguhnya rumah ibadah pertama yang dibangunkan untuk manusia, ialah Baitullah yang di Bakkah (Makah) yang mempunyai berkat dan menjadi petunjuk seluruh alam.” (Ali Imran: 96)
Selain itu, Hari Raya Korban wajar diperbesarkan demi mengingati betapa penderitaan dan kesusahan yang dialami oleh Nabi Ibrahim, dalam usaha menegakkan agama Allah dan membangunkan Makkah. Baginda Nabi Ibrahim disenaraikan sebagai salah seorang Rasul yang bergelar ‘Ulul Azmi yang memiliki kesabaran dan ketabahan luar biasa, sanggup menanggung seribu satu macam kesusahan dan penderitaan serta cabaran semata-mata untuk mencari keredaan Allah.
Membesarkan Hari Raya Korban dengan pelaksanaan ibadat korban yang dilakukan semata-mata kerana Allah pada Hari Raya Haji dan hari-hari Tasyrik (11,12, dan 13 Zulhijjah).
Ibadat korban dapat mengeratkan hubungan silaturahim antara ahli kariah masjid. Peserta yang melakukan ibadat korban melalui daging korban dapat dibahagi-bahagikan kepada golongan fakir miskin dan ahli kariah masjid. Ini akan menimbulkan rasa keinsafan dalam diri untuk terus membantu golongan yang kurang bernasib baik.
Selain itu, ibadat ini dapat mengukuhkan pertalian dan kasih sayang di kalangan keluarga dan ahli masyarakat yang berkumpul melaksanakan ibadat korban melalui kerja menyembelih, melapah, menyiang daging dan kemudian makan bersama-sama daging korban dimasak.
Ini juga dapat melahirkan rasa kegembiraan dan kesyukuran dengan melaksanakan perintah Allah. Ingatlah firman Allah s.w.t. bermaksud: “Dan (ingatlah) tatkala Tuhan kamu memberitahu: Demi sesungguhnya jika kamu bersyukur nescaya Aku akan tambah nikmat-Ku kepada kamu, dan demi sesungguhnya jika kamu kufur ingkar, sesungguhnya azab-Ku amatlah berat.” (Ibrahim:70).
Hari Raya Korban hendaklah diperbesarkan dengan sewajarnya, dengan mengucapkan takbir secara berterusan pada malam hari raya hingga solat sunat didirikan pada esok harinya. Pada Aidilfitri disunatkan menjamah makanan atau juadah sebelum ke masjid tetapi untuk Hari Raya Korban kita tidak disunatkan berbuat demikian. Sebaliknya disunatkan pergi ke surau atau masjid lebih awal untuk menunaikan solat sunat Aidiladha dan mendengar khutbah yang menyentuh antara lain kisah pengorbanan Nabi Ibrahim yang boleh dijadikan panduan dalam kehidupan umat Islam.
Sebaik selesai solat sunat Aidiladha, maka bersegeralah menyembelih binatang korban. Kemudian dagingnya disedekahkan kepada fakir miskin dan sebahagiannya juga diberikan kepada kariah masjid sebagai hadiah. Nabi SAW bersabda bermaksud: “Barang siapa dibukakan baginya pintu kebaikan (rezeki) hendaklah memanfaatkan kesempatan itu (untuk berbuat baik) sebab dia tidak mengetahui bila pintu itu akan ditutup baginya.” (Riwayat Asy Syihaab).
Artikel dari : http://epondok.wordpress.com/
Ini Jadual Saya Sendiri
2 years ago