BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

Friday, 18 December 2009

Peristiwa Hijrah

Peristiwa Hijrah: Bukti Kejujuran dengan Allah s.w.t.


Ketika umat Islam menyambut kedatangan tahun baru Hijrah, mereka tidak dapat memisahkan diri daripada sejarah. Ini kerana, kehadiran tahun baru Hijrah sebenarnya adalah kehadiran semula memori umat Islam terhadap suatu “simbol” kejujuran generasi awal Muslimin dengan Tuhan Semesta Alam.

Sesungguhnya, dengan menjadikan ukuran peristiwa Hijrah sebagai suatu ukuran dalam Takwim umat Islam mempunyai suatu rahsia yang sangat agung. Ini kerana, keagungan dan kegemilangan umat Islam sehingga hari ini sememangnya berasaskan “kejujuran” generasi awal Muslimin yang dipimpin oleh semulia-mulia manusia (bahkan seagung-agung makhluk) iaitulah Saidina Rasulullah s.a.w..

Hijrah bukan sekadar suatu peristiwa perpindahan, kerana perpindahan itu adalah lumrah kehidupan. Sebelum peristiwa Hijrah Agung ini, umat manusia tidak sunyi dari perpindahan dari satu tempat ke satu tempat. Bahkan, setelah peristiwa Hijrah Agung ini juga, tradisi perpindahan dari suatu tempat ke suatu tempat menjadi amalan umat manusia. Maka, di manakah kemuliaan dan keagungan Hijrah Rasulullah s.a.w. dan para sahabat r.a. ini, sedangkan perpindahan itu sememangnya suatu lumrah bagi sebahagian manusia?

Keagungan Hijrah Rasulullah s.a.w. dan para sahabat r.a. adalah pada “tujuan” Hijrah mereka, bukan pada zahir perpindahan mereka semata-mata. Ini kerana, perpindahan dari suatu tempat ke suatu tempat adalah suatu tradisi umat manusia sejak zaman berzaman. Namun, suatu “perpindahan” bertujuan untuk memilih Allah s.w.t. daripada selain Allah adalah suatu nilai yang paling agung, dalam membuktikan kejujuran seseorang kepada Allah s.w.t..

Hadith Niat

Ketika kita membaca kitab-kitab hadith, kita dapati antara hadith yang disebut di awal kitab adalah suatu hadith yang mashyur iaitulah hadith niat. Hadith niat ini sebenarnya adalah isyarat yang jelas menunjukkan kemuliaan Hijrah Rasulullah s.a.w. dan para sahabat r.a. dari Makkah ke Madinah adalah pada “niat” dan “tujuan” hijrah mereka, iaitulah kerana Allah s.w.t. dan Rasulullah s.a.w..

Rasulullah s.a.w. bersabda:

إنما الأعمال بالنيّات ، وإنما لكل امريء مانوى ، فمن كانت هجرته إلى الله ورسوله ، فهجرته إلى الله ورسوله ، ومن كانت هجرته لدنيا يصيبها ، أو امرأة ينكحها ، فهجرته إلى ما هاجر إليه

Maksudnya:
Sesungguhnya setiap amalan itu bergantung kepada niat, dan bahawa sesungguhnya bagi setiap orang itu, apa yang dia niatkan. Barangsiapa yang hijrahnya kepada (kerana) Allah dan RasulNya, maka hijrahnya kepada Allah dan RasulNya. Barangsiapa yang hijrahnya kerana dunia yang dia mahu mencari habuannya, atau kerana seorang perempuan yang dia mahu kahwininya, maka hijrahnya ke arah perkara yang ditujuinya itu”. [Hadith riwayat Imam Al-Bukhari dan Imam Muslim]

Imam Abu Daud berkata:

Sesungguhnya hadith ini iaitu hadith bahawasanya segala amalan itu adalah dengan niat adalah separuh daripada Islam, kerana ad-din itu dua perkara, sama ada ianya perkara zahir iaitu amalan ataupun yang batin iaitu niat”.

Sementara Imam Ahmad dan Imam Syafie pula berkata:

Di dalam hadith ini (iaitu hadith “Bahawasanya segala amalan itu adalah dengan niat”) mengandungi satu pertiga ilmu. Sebabnya ialah kerana usaha seseorang itu adalah sama ada dengan hati, lidah atau anggota tubuh badannya. Maka niat dengan hati adalah salah satu daripada tiga pembahagian tersebut.”

Biar para ulama’ mengeluarkan pelbagai kaedah dan ilmu daripada hadith yang agung ini, namun isyarat keagungan para sahabat r.a. khususnya para Muhajirin dalam hadith tersebut tetap tidak dapat dinafikan. Hadith ini terlalu agung dan mengandungi rahsia kejujuran para sahabat r.a. yang sanggup meninggalkan tanah air dan kediaman mereka, lalu meninggalkan harta dan keluarga mereka, hanya kerana Allah s.w.t. dan Rasul-Nya.

Hijrah dari sudut bahasa bermaksud meninggalkan. Bahkan, ianya juga bermaksud, perpindahan. Namun, kemuliaan hijrah bukan pada tindakan “meninggalkan” atau “perpindahan” semata-mata, tetapi makna dan tujuan di sebalik tindakan tersebut.

Oleh kerana itulah, dalam hadith ini, Rasulullah s.a.w. mengingatkan betapa seseorang yang berhijrah bukan kerana Allah s.w.t. dan Rasul-Nya, ianya tidak diterima oleh Allah s.w.t., biarpun secara zahirnya, dia menyertai hijrah bersama para Muhajirin. Namun, di sisi Allah s.w.t., dia tidak bersama-sama dengan para Muhajirin, tetapi dia menuju kepada apa yang diingininya, iaitulah selain dari Allah s.w.t..

Alangkah rugi dan malangnya seseorang yang melakukan sesuatu ketaatan dan ibadah, namun di sisi Allah s.w.t., ketaatan dan ibadahnya tidak diterima oleh Allah s.w.t.. Apatah lagi ibadah yang sukar dilakukan seperti berhijrah yang memerlukan tenaga dan masa yang banyak sehingga ada yang gugur di tengah-tengah perjalanan. Ibadah yang sukar dilakukan pun, andai dilakukan bukan kerana Allah s.w.t., maka ianya tetap tidak diterima oleh Allah s.w.t.. Maka, alangkah ruginya sebuah zahir ibadah tanpa kejujuran dalam kehambaan kepada Allah s.w.t..

Bayangkan, kita yang melakukan ibadah kepada Allah s.w.t. saban hari, pernahkan terfikir apakah tujuan di sebalik ibadah yang dilakukan? Adakah ianya benar-benar kerana Allah s.w.t.?

Adakah kita sanggup memilih untuk mengutamakan Allah s.w.t. daripada selain Allah s.w.t. dalam kehidupan kita? Adakah kita sanggup meninggalkan apa yang kita suka dan apa yang kita sayang demi menuju kepada apa yang Allah s.w.t. cintai dan kerana mengharapkan hanya cintaNya? Pernahkah kita memilih sesuatu kerana Allah dengan mengorbankan keinginan kepada selain Allah s.w.t.?

Demi Allah, para sahabat r.a. dari kalangan Muhajirin yang dipimpin oleh Saiyyidul Muhajirin, Rasulullah s.a.w., sudah membuktikan kejujuran mereka kepada Allah s.w.t.. Mereka adalah manusia yang mana “tindakan” mereka menjadi saksi kejujuran mereka, berbanding dakwa dengan lisan semata-mata. Kalau kejujuran itu diukur dengan lisan semata-mata, di mana bezanya antara para munafiqin dengan para siddiqin kerana para munafiqin lebih banyak mengaku jujur dan cinta, sedangkan di hati mereka hanyalah seribu satu dusta.

Merekalah Orang-orang yang Jujur

Allah s.w.t. berfirman:

لِلْفُقَرَآءِ الْمُهَاجِرِينَ الَّذِينَ أُخْرِجُواْ مِن دِيَارِهِمْ وَأَمْوَالِهِمْ يَبْتَغُونَ فَضْلاً مِّنَ ٱللَّهِ وَرِضْوَاناً وَيَنصُرُونَ ٱللَّهَ وَرَسُولَهُ أُوْلَـٰئِكَ هُمُ ٱلصَّادِقُونَ

Maksudnya:

(Juga) bagi orang fakir yang berhijrah yang diusir dari kampung halaman dan dari harta benda mereka (karena) mencari kurnia dari Allah dan keredhaan-Nya dan mereka menolong Allah dan RasulNya. Mereka itulah orang-orang yang benar”. [Surah Al-Hasyr: 8]

Lihatlah bagaimana Allah s.w.t. melahirkan rasa kasihNya yang agung kepada para Muhajirin yang diusir oleh kaum dan bangsa mereka sendiri, bahkan ahli keluarga mereka yang terdekat sendiri. Tidaklah mereka diusir melainkan kerana keimanan mereka kepada Allah s.w.t. dan kecintaan mereka kepadaNya.

Imam Ibn Ajibah menjelaskan bahawa, Allah s.w.t. menggunakan perkataan “Al-Fuqara’” bagi menggambarkan keadaan orang-orang Muhajirin pada ketika itu adalah kerana orang-orang kafir sudah menguasai harta benda mereka di Makkah. Maka, tekanan yang dihadapi oleh orang-orang Islam Makkah pada ketika itu dihadapi demi cinta mereka kepada Allah dan Rasul-Nya.

Bahkan, Allah s.w.t. menggambarkan niat agung para muhajirin yang bersusah-payah dalam Hijrah semata-mata kerana:

·         Mengharapkan hanya kurnia dari Allah s.w.t..
·         Mengharapkan hanya keredhaan Allah s.w.t..
·         Ingin membela agama Allah s.w.t..

Tiada “tujuan” sesuatu ibadah dan amalan yang lebih mulia daripada niat dan tujuan yang tersemat di hati para muhajirin sebagaimana yang digambarkan sendiri oleh Allah s.w.t.. Inilah setinggi-tinggi keikhlasan dan kejujuran seseorang dalam kehambaannya kepada Allah s.w.t..

Bahkan, Allah s.w.t. sendiri menjadi saksi “kejujuran” mereka terhadap Allah s.w.t.. Allah… Tiada penyaksian dan perakuan yang lebih benar dan lebih berharga berbanding penyaksian dan perakuan daripada Allah s.w.t.. Para Muhajirin ini diakui sendiri oleh Tuhan semesta alam, betapa mereka adalah orang-orang yang jujur.

Allah s.w.t. berfirman sebagaimana di hujung ayat tersebut:

“…Mereka itulah orang-orang yang benar (jujur)

Imam At-Tabari meriwayatkan tafsiran ayat ini daripada Imam Qatadah r.a. bahawa Imam Qatadah r.a. berkata:

هؤلاء المهاجرون تركوا الديار والأموال والأهلينخرجوا حباً لله ولرسوله، واختاروا الإسلام على ما فيه من الشدّة، حتى لقد ذكر لنا أن الرجل كان يعصب الحجر على بطنه ليقيم به صلبه من الجوع،

Maksudnya:

Merekalah orang-orang Muhajirun yang meninggalkan rumah-rumah, harta-harta, ahli keluarga dan sebagainya… Mereka keluar (dari Makkah) kerana cinta mereka kepada Allah dan Rasul-Nya s.a.w., kerana mereka telah memilih Islam dan sanggup menanggung kesusahan kerana pilihan tersebut, sehinggakan telah disebutkan kepada kami bahawa ada seorang lelaki (yang berhijrah) sanggup meletakkan batu di perutnya agar dapat menahan daripada lapar…” [Tafsir At-Tabari]

Kejujuran Dibalas Kejujuran

Ketika orang-orang Muhajirin merealisasikan kejujuran mereka dalam kehambaan kepada Allah s.w.t. dan membuktikan kejujuran mereka dengan sanggup meninggalkan selain Allah hanya kerana Allah s.w.t., maka Allah membalasi mereka dengan suatu golongan yang jujur dalam membantu mereka.

Mereka adalah Al-Anshar, penghuni asal Al-Madinah Al-Munawwarah yang melahirkan kesetiaan mereka kepada Allah s.w.t. dan Rasul-Nya s.a.w.. Apabila golongan Muhajirin jujur dalam kehambaan mereka, Allah s.w.t. menjadikan golongan yang membantu mereka juga jujur dalam membantu mereka.

Inilah keagungan ukhuwwah Islamiyyah yang mempengaruhi secara dalaman melalui Qudwah Hasanah (contoh yang baik). Rasulullah s.a.w. jujur dalam hubungan Baginda s.a.w. dengan Allah s.w.t., akhirnya kejujuran Rasulullah s.a.w. terhadap Allah s.w.t. dicontohi oleh para sahabat r.a. dari kalangan penduduk Makkah. Mereka mencontohi kejujuran daripada insan yang paling jujur dalam hubungan dengan Allah s.w.t..

Setelah itu, para sahabat r.a. yang jujur ini berhijrah ke Madinah dalam rangka membuktikan kejujuran mereka kepada Allah s.w.t., lalu menjadi contoh kepada golongan Anshar. Lalu, golongan Anshar pula belajar kejujuran dari golongan muhajirin lalu mereka juga jujur dalam membantu golongan Muhajirin.

Kejujuran golongan Anshar turut diabadikan dalam Al-Qur’an, pada ayat seterusnya dalam surah yang sama, dalam firman Allah s.w.t.:

وَٱلَّذِينَ تَبَوَّءُوا ٱلدَّارَ وَٱلإِيمَانَ مِن قَبْلِهِمْ يُحِبُّونَ مَنْ هَاجَرَ إِلَيْهِمْ وَلاَ يَجِدُونَ فِي صُدُورِهِمْ حَاجَةً مِّمَّآ أُوتُواْ وَيُؤْثِرُونَ عَلَىٰ أَنفُسِهِمْ وَلَوْ كَانَ بِهِمْ خَصَاصَةٌ وَمَن يُوقَ شُحَّ نَفْسِهِ فَأُوْلَـٰئِكَ هُمُ ٱلْمُفْلِحُونَ

Maksudnya:

Dan orang-orang yang telah menempati kota Madinah dan telah beriman (Anshor) sebelum (kedatangan) mereka (Muhajirin), mereka (Anshor) 'mencintai' orang yang berhijrah kepada mereka (Muhajirin). Dan mereka (Anshor) tiada menaruh keinginan dalam hati mereka terhadap apa-apa yang diberikan kepada mereka (Muhajirin); dan mereka mengutamakan (orang-orang muhajirin), atas diri mereka sendiri, sekalipun mereka dalam kesusahan. dan siapa yang dipelihara dari kebakhilan dirinya, mereka itulah orang orang yang beruntung” [Surah Al-Hasyr: 9]

Allah s.w.t. menjadi saksi kejujuran golongan Anshar dalam membantu Rasulullah s.a.w. dan golongan Muhajirin lalu menyebutkannya dalam Al-Qur’an agar umat Islam sepanjang zaman mengenang “kejujuran” ini, dan “kejujuran” golongan Muhajirin serta kejujuran Saidina Rasulullah s.a.w. terhadap Allah s.w.t..

Lihatlah, bilamana Rasulullah s.a.w. mengutamakan Allah s.w.t. berbanding keinginan dan keselesaan diri, maka Allah s.w.t. menjadikan suatu golongan pengikut (sahabat) dari kalangan Muhajirin yang setia dan mengutamakan Baginda s.a.w. berbanding diri mereka sendiri.

Bilamana pula golongan Muhajirin mengutamakan Allah s.w.t. dan Rasul-Nya berbanding diri mereka sendiri, bukti kejujuran mereka kepada Allah s.w.t. dan Rasul-Nya s.a.w., maka Allah s.w.t. menjadikan suatu golongan pembantu yang mengutamakan mereka (Muhajirin) berbanding diri mereka sendiri. Hal ini digambarkan sendiri oleh Allah s.w.t. sebagaimana firmanNya:

“…dan mereka mengutamakan (orang-orang muhajirin), atas diri mereka sendiri, sekalipun mereka dalam kesusahan” [Surah Al-Hasyr: 9]

Allah… Ukhuwwah Islamiyyah ini terlalu indah. Allah s.w.t. mengajar erti cinta dari mereka yang jujur dalam kecintaan kerana Allah s.w.t.. Kejujuran itu adalah harta paling berharga kerana harga cinta adalah kejujuran dalam cinta. Oleh kerana itulah, setelah para sahabat r.a. membuktikan kejujuran mereka kepada Allah s.w.t. dengan mengutamakan Allah s.w.t. di atas kepentingan diri mereka, maka Allah s.w.t. menjadi saksi betapa mereka layak dicintai dan diredhai oleh Allah s.w.t..

Kejujuran dibalasi Redha

Allah s.w.t. berfirman:

قَالَ ٱللَّهُ هَـٰذَا يَوْمُ يَنفَعُ ٱلصَّادِقِينَ صِدْقُهُمْ لَهُمْ جَنَّاتٌ تَجْرِي مِن تَحْتِهَا ٱلأَنْهَارُ خَالِدِينَ فِيهَآ أَبَداً رَّضِيَ ٱللَّهُ عَنْهُمْ وَرَضُواْ عَنْهُ ذٰلِكَ ٱلْفَوْزُ ٱلْعَظِيمُ

Maksudnya:

Allah berfirman: “Ini adalah suatu hari yang bermanfaat bagi orang-orang yang jujur akan kejujuran mereka. Bagi mereka surga yang dibawahnya mengalir sungai-sungai; mereka kekal di dalamnya selama-lamanya; Allah redha kepada mereka dan mereka redha terhadapNya. Itulah keberuntungan yang paling besar”. [Surah Al-Ma’idah: 119]

Nilai redha Allah s.w.t. itu adalah keberuntungan yang paling besar. Bayarannya adalah kejujuran dalam kehambaan kepadaNya. Namun, kejujuran itu bukan semudah mengungkapkannya. Orang-orang munafiq adalah pengaku terhebat dalam bab kecintaan dan mengaku memiliki kejujuran. Mereka tidak lain melainkan menipu diri mereka sendiri sedang mereka sendiri tidak mengetahuinya.

Ya Allah, dengan keberkatan hari yang mulia ini, dan keberkatan Saidina Rasulillah s.a.w. serta para sahabat r.a. yang jujur dalam kehambaan mereka, kurniakanlah kami kejujuran dalam kehambaan kepadaMu, agar kami dapat bersama-sama dengan para Sadiqin dan Siddiqin, dan mendapat redhaMu yang menjadi harapan tertinggi kami…

Amiin…

Wallahu a’lam…

Al-Faqir Al-Haqir ila Rabbihi Al-Jalil 

‘Amalahullahu bi LutfiHi Al-Khafiyy

 1 Muharram 1431 Hijrah