BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

Sunday 26 July 2009

Suri Teladan Akhlak Rasullulah

"Sesungguhnya telah ada pada (diri) Rasulullah suri teladan yang baik bagimu (iaitu) bagi orang yang mengharap (rahmat) Allah dan (kedatangan) hari kiamat dan dia banyak menyebut Allah " Orang yang mengharapkan rahmat dan kasih Allah hendaklah mengikuti jejak Rasulullah Sallallahu 'alaihi Wasallam, kerana pada diri baginda terdapat suri teladan yang baik. Baginda berlaku baik terhadap jiran tetangga, kasih sayang kepada fakir miskin, anak yatim, para janda dan lain-lain, pakar di bidang kenegaraan, peperangan dan politik, mahir di dalam perniagaan dan pertanian, maka seharusnya umat Islam mengikutinya Baginda sangat benci kepada sifat-sifat sombong, angkuh, berdusta, khianat dan semua sifat-sifat yang buruk, maka umat Islam juga hendaklah mengikutinya Pendek kata, segala tingkah laku dan keperibadian Rasulullah Sallallahu 'alaihi wasallam hendaklah ditiru dan diamalkan di dalam kehidupan ini. Tidak seharusnya umat Islam hanya meniru sebahagian daripadanya yang mudah dan meninggalkan yang dianggapnya sukar. Hendaklah kita mengikuti baginda secara keseluruhan supaya kita menjadi Muslim yang benar benar mengikuti ajaran dan kepercayaan Islam.

Sesungguhnya, keimanan kita adalah diukur sejauh manakah ketaatan kita terhadap Allah dan RasulNya. Semoga Allah meredhai kita di dalam menegakkan kebenaran dan kebaikan melalui ajaran-ajaran Rasulullah Sallallahu 'alaihi wasallam, sehingga Islam benar-benar tegak sebagai agama yang luhur di bumi ini.

Antara Peribadi dan Akhlak Rasulullah S.A.W

~Wajahnya sentiasa ceria yang menyejukkan mata memandangnya
~Sangat elok dan sempurna wajahnya
~Baginda memilik perasaan yang halus
~Beliau mengambil wudhu' sebelum tidur dan berzikir hingga lena
~Suka makan beramai-ramai daripada berseorangan
~Bencikan kemegahan dan perhiasan yang cantik melambangkan kesombongan dan kemegahan
~Beliau makan setelah lapar dan berhenti sebelum kenyang
~Tidak pernah mengumpat , mencerca atau menghina orang lain
~Baginda memelihara rambutnya dengan kemas
~Baginda memakai serban di atas kopiahnya
~Suka membalas hadiah
~Baginda mengucapkan salam kepada ahli rumah ketika hendak keluar atau masuk
~Baginda sangat berlemah-lembut dengan isterinya dan ahli keluarganya
~Sentiasa memulakan salam kepada sesiapa yang ditemuinya
~Baginda bersalaman dengan sahabatnya dan memeluk mereka ketika berjumpa
~Ketika berjabat tangan ia tidak melepaskan tangannya sehinggalah orang dijabatnya itu melepaskan tangannya.
~Apabila melepasi kumpulan kanak-kanak , baginda mengangkat tangannya tanda hormat kepada mereka.
~Tidak menatap atau merenung wajah orang lain lama-lama
~Sangat menghormati orang-orang tua dan mengasihani orang-orang muda dan kanak-kanak
~Tidak bangun dari sesuatu majlis makan sehingga tetamu lain bangun
~Tidak pernah menjulurkan kakinya di depan para sahabat
~Baginda suka bercakap lambat-lambat dan menyebut perkataan dengan jelas
~Sentiasa menumpukan perhatian kepada orang yang bercakap dengannya
~Tidak pernah ketawa terbahak-bahak tetapi hanya tersenyum lembut
~Sangat fasih dan manis dalam tutur bicara .
~Tersangat sabar dan tabah bila menghadapi setiap cabaran dan kesusahan
~Amat kasih terhadap umatnya.
~Tidak pernah mengambil rezeki kurnian Allah melebihi keperluan makan minumnya .
~Rezeki yang melebihi keperluan akan ditaburkan untuk jihad Fisabilillah .
~Sentiasa membantu orang lain walaupun ia sendiri dalam kesusahan
~Tidak pernah menghina orang miskin dan tidak rasa terhina bergaul dengan mereka
~Suka menziarahi orang sakit
~Amat pemurah hingga digambarkan seperti angin lalu pemurahnya
~Baginda tidak suka tidur di bilik gelap dan di bawah bumbung yang terbuka dan tidak beratap .
~Tangannya tidak pernah menyentuh kulit wanita ajnabi
~Bersikap tegas , pemaaf dan pengasih dalam perjuangan

Ketinggian akhlak asas keteguhan iman

Islam telah mengingatkan kepada umatnya mengenai pentingnya memelihara akhlak dan mengamalkan nilai-nilai mulia dalam kehidupan seharian kita dan sebagai hamba yang taat kepada perintah Allah s.w.t., sama sekali kita tidak dibenarkan melakukan sebarang kemungkaran, kemaksiatan, kekejian dan seumpamanya kerana ia merupakan satu tegahan yang nyata.

Firman Allah s.w.t. dalam Al-Quran surah al-Anbiyaa’ ayat 107 iaitu bermaksud : " Dan tidaklah kami mengutuskan engkau( wahai Muhammad) melainkan menjadi rahmat bagi sekalian alam " .

Bahkan keimanan kepada Baginda adalah termasuk dalam kesempurnaan rukun iman kita. Mengapa Rasulullah s.a.w dipilih oleh Allah s.w.t. untuk membawa misi kesejahteraan ini kepada semua umat di dunia ?



Salah satu kunci kejayaan Rasulullah s.a.w dalam menyampaikan risalah dakwah ialah dengan memiliki ketinggian akhlak dan mengamalkan dalam kehidupan Baginda seperti hubungan dengan keluarga, jiran tetangga, sahabat handai, bahkan dengan kaum kafir juga Baginda sering menunjukkan akhlak mulia ini . Ummul Mu’minin Saidatina Aisyah r.a. pernah ditanya, mengenai akhlak Baginda s.a.w, maka Saidatina Aisyah menjawab dengan katanya :"akhlak Baginda adalah Al-Quran".Gambaran ketinggian akhlak Baginda s.a.w. juga dirakamkan oleh Allah s.w.t di dalam surah Al-Qalam ayat 4 yang bermaksud : "Dan bahawa sesungguhnya engkau ( wahai Muhammad) mempunyai akhlak yang sangat mulia ” .

Para ulama menyatakan bahawa Baginda tercipta di dalam keaslian fitrahnya melalui tarbiah Ilahaiyat. Dan ini adalah anugerah Allah s.w.t. ke atas kekasihnya Rasul utusan terakhir junjungan mulia Nabi Muhammad s.a.w. Keistimewaan yang tiada taranya menjadikan Baginda dipilih dan dilantik oleh Allah s.w.t. sebagai penghulu kepada sekalian Nabi dan Rasul . Dan kita umat Islam turut menumpang keistimewaan Baginda, kerana Allah menjadikan umat Muhammad sebagai umat terbaik diantara umat Nabi dan Rasul terdahulu .


Akhlak dan sirah perjalanan yang ditunjukkan oleh Rasul s.a.w adalah sebagai contoh teladan yang dapat mendidik diri dan peribadi Muslim agar sentiasa beriman dan bertakwa, Ini kerana setiap perkataan, perbuatan, pengakuan dan tingkah laku Baginda mengandungi hikmat dan sebagai huraian kepada prinsip-prinsip yang terkandung didalam Al-Quran . maka sudah tentu, setiap perkataan dan tindakan kita yang berpandukan akhlak dan sirah perjalanan Baginda, tidak akan terpesong atau tersasar dari landasan agama dan tuntutan syariat .



Sejarah mencatatkan bahawa akhlak Rasulullah s.a.w adalah modal utama yang dapat menarik minat golongan bukan Islam kepada Islam . contohnya, Kesah tauladan seorang Badawi membuang air kecil di dalam masjid, melihat kejadian ini maka para sahabat yang berada di situ, naik berang dan hendak memukul Badawi tadi . Bagaimanapun tindakan mereka dihalang oleh Rasulullah s.a.w, sebaliknya Baginda membiarkan Badawi itu selesai membuang air kecil . kemudian Baginda meminta sebekas air lalu disiramkan ditempat kencing tersebut . Rasulullah s.a.w bertanya kepada para sahabat, apakah yang akan terjadi jika mereka mengejar dan memukul Badawi itu semasa sedang membuang air kecil . maka jawab sahabat, seluruh kawasan masjid akan terkena najis air kencingnya . kisah ini menjadikan Badawi yang menyaksikan tindakan Rasulullah itu, merasa kagum dengan ketinggian akhlak Baginda, lalu beliau pun menyatakan hasratnya untuk memeluk Islam .

Suasana masyarakat kita pada hari ini berhadapan krisis nilai, begitu banyak budaya luar dan fahaman atau idealogi yang tidak sehat, telah mempengaruhi cara kehidupan seperti percakapan, gaya berpakaian dan pergaulan, dan apa yang lebih membimbangkan terdapat segelintir masyarakat yang mula terpengaruh dan terjebak dengan aliran Islam liberal, dan lebih dasyat lagi pengaruh Black Metal, dan sebagainya yang mencemarkan nama baik serta identiti umat Islam, dan ini membawa gambaran negatif kepada imej Islam .

Anasir-anasir yang tidak sehat ini dengan mudah menyelinap masuk serta menjajah pemikiran, seterusnya mempengaruhi kehidupan kita, sekiranya benteng iman kita tipis, cetek pengetahuan tentang Agama, meremehkan nasihat para ulama mengabaikan suruhan agama dan tidak berpegang dengan tuntutan syariat . Mereka yang diresapi dengan fahaman atau aliran yang merbahaya ini, akan mudah meminggirkan akhlak dan nilai-nilai murni sebagaimana yang dituntut oleh Allah dan RasulNya . Ingatlah, bahawa Islam sentiasa diperhatikan, dan kelemahan-kelemahan serta kecelaruan yang sedang dialami oleh umat Islam akan dijadikan sebagai asas dan modal untuk musuh-musuh Islam membina seribu satu alasan untuk memburuk-burukkan Islam. Tidak mustahil mereka akan memperalatkan saudara-saudara kita sendiri seperti yang pernah berlaku di abad lalu, khususnya ketika negara-negara umat Islam dijajah oleh kuasa penjajah .


Ini semua menandakan Islam sedang diuji . Dan ia merupakan satu peringatan kepada kita . Cara terbaik malah wajib dilakukan oleh kita ialah kembali mencontohi akhlak Baginda Nabi Muhammad s.a.w. Adalah wajar bagi kita memperingati kelahiran Baginda s.a.w sebagai tanda rasa kecintaan terhadap perjuangan Baginda. Dengan sentiasa mengingati Rasulullah s.a.w khususnya sejarah kelahiran Baginda setiap tahun sekaligus akan memberikan kita kekuatan, pengajaran dan pendidikan yang tidak secara langsung kepada masyarakat kita terutama sekali generasi muda yang bakal memimpin negara yang kini sedang berhadapan dengan zaman canggih, teknologi cyber dan penuh dengan godaan dan ancaman aqidah songsang .

Di antara akhlak Baginda Rasulullah s.a.w yang perlu dicontohi :

1. Baginda sentiasa memberi salam kepada sesiapa yang ditemui .
2. Baginda sangat menghormati orang-orang tua, mengasihani orang-orang muda dan kanak-kanak .
3. Baginda bercakap dengan lemah lembut dan sentiasa menumpukan perhatian kepada orang yang bercakap dengannya .
4. Baginda tidak pernah menghina orang miskin dan tidak merasa terhina bergaul dengan Mereka .
5. Baginda sentiasa membantu orang lain, walaupun Baginda sendiri dalam kesusahan .
6. Baginda sangat berlemah lembut dengan isteri, anak-anak dan ahli keluarganya .
7. Baginda tersangat sabar dan tabah apabila mengahadapi setiap cabaran dan kesusahan .


Apakah yang sepatutnya kita lakukan sebagai rasa tanda kasih dan sayang kepada Baginda Rasulullah s.a.w. yang telah banyak berjasa kepada kita semua ? Selain mencontohi akhlak Rasulullah s.a.w dan mengamalkannya, kita juga dituntut melakukan muhasabah diri dan mengambil iktibar untuk dihayati . Dan dalam masa yang sama, tanya diri kita, apakah roh kehidupan, akhlak dan perjuangan Rasulullah s.a.w telah kita hayati dan perjuangkan? atau apakah sebaliknya kita telah hanyut oleh arus kehidupan duniawi sehingga mengabaikan nilai agama? Amat rugi sekali sekiranya kita mengamalkan cara hidup yang bertentangan dengan amalan dan ajaran Islam yang dibawa Rasulullah s.a.w .

Mudah-mudahan kita akan menjadi umat yang terbaik dan terbilang. Firman Allah di dalam Al Quran surah Al-Ahzab , ayat 21 yang bermaksud " Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan ( keredaan ) Allah dan ( balasan baik) hari akhirat, serta ia pula menyebut dan memperingati Allah banyak-banyak ( dalam masa susah dan senang )” .

Ameen...