BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

Sunday 4 October 2009

Menguji Iman

Sebenarnya musibah dan malapetaka yang datang kepada manusia bukan lah satu bencana sebaliknya ujian menguji keimanan manusia. Kita selalu dengar sumatera sering dilanda musibah. Kenapa? Adakah kerana mereka selalu melanggar perintah tuhan?

Masjid tertua runtuh


PENDUDUK menunaikan solat Jumaat di luar Majid Raya Ganting di Padang,
yang rosak akibat gempa bumi.

WALAUPUN sebahagian Masjid Raya Ganting yang berusia 194 tahun di sini runtuh dalam gempa bumi yang melanda Sumatera Selatan, pada Rabu lalu, umat Islam tetap menunaikan solat Jumaat di masjid antara yang tertua di wilayah ini.

Menggunakan hamparan sejadah dan tikar di perkarangan masjid, kira-kira 300 penduduk menahan terik matahari mendengar khutbah Jumaat, seterusnya menunaikan solat.

Berlatarkan bumbung depan masjid yang runtuh, suasana sepi dan suram menyelubungi jemaah yang sebahagian besarnya kehilangan sanak saudara dan harta benda dalam tragedi terburuk dalam sejarah bandar pelancongan terkenal itu.

Tinjauan Berita Harian dalam masjid yang sebelum ini menjadi lokasi tumpuan pelancong itu mendapati bahagian menempatkan mimbar runtuh sama sekali, manakala sebahagian bumbung runtuh.

Selain itu, sekurang-kurangnya 15 daripada 25 tiang yang dibina melambangkan 25 Rasul retak menyebabkan struktur masjid yang dibina pada zaman penjajahan Belanda itu tidak selamat digunakan.

Imam Masjid Raya Ganting, Hidayat Juli, 36, berkata ketika gempa, tiada jemaah berada di dalamnya kerana selesai solat Asar.

"Amat menyedihkan melihat masjid yang baru selesai dibaiki setahun selepas rosak ketika gempa bumi pada 2007 musnah semula.

"Namun ini semua ketentuan Allah dan kita tidak harus melihatnya daripada sudut negatif kerana keperluan mengerjakan ibadat boleh dilakukan di mana-mana saja," katanya yang sudah lapan tahun menjadi imam masjid itu.

Katanya, berdasarkan struktur asas masjid yang rosak teruk, kemungkinan ia tidak dapat lagi digunakan melainkan kerajaan membina bangunan baru di tapak berkenaan.

Saharudin Sharip, 50, berkata penduduk tidak kisah berpanas asalkan dapat mengerjakan solat Jumaat yang wajib bagi umat Islam yang berkemampuan.

"Saya terharu melihat penduduk tidak mengabaikan suruhan agama dengan menjadikan kerosakan masjid sebagai alasan tidak hadir bersolat Jumaat," katanya sebak.


Sementara itu, khatib dalam bacaan khutbahnya mengingatkan jemaah bahawa bencana itu adalah musibah yang diturunkan Allah bagi memberi peringatan kepada umat Islam.

"Musibah adalah ujian Allah supaya kita kembali ke jalan-Nya dan sebenarnya ini tanda Tuhan masih sayangkan kita di Padang ini. Jadi, wajib bagi kita sentiasa meningkatkan amalan dan meninggalkan larangannya," katanya

Ulasan:
Bukanlah sejarah masjid ini yang ingin riwayatkan, tapi pengajaran dari peristiwa gempa bumi yang berlaku yang ingin saya paparkan. Melihat kepada ketaqwaan mereka yang ditimpa musibah, walaupun masjid runtuh, mereka tetap datang ke masjid untuk melaksanakan perintah Allah. bersolat di bawah panahan matahari terik. Cuba bandingkan suasana di negara kita ini pada hari Jumaat?

Dalam keadaan aman dan selesa, tanpa ada kesusahan, betapa ramai yang tidak bersolat Jumaat? Solat ini hanya diwajib seminggu sekali sahaja. Itu pun tidak dilaksanakan, apatah lagi solat 5 waktu yang diwajibkan sehari 5 kali. Mungkin negara kita zon stabil, bukan laluan gempa bumi, letusan gunung berapi dan juga laluan ribut taufan. Maka mereka-mereka ini lalai dan lupa tuhan. tidak mahu bersyukur dengan nikmat kestabilan kerak bumi Malaysia. Sebenarnya orang-orang yang sering dilanda musibah dan bencana alam ini, adalah orang-orang yang dalam perhatian dan kasih sayang Allah SWT. Allah menguji mereka, untuk melihat sejauh mana keimanan mereka di kala dilanda musibah.

"lebih mudah memelihara iman di kala kemiskinan dari masa kekayaan". Jarang orang miskin lupa tuhan. Sebenar kesihatan yang sentiasa baik dan kekayaan melimpah ruah itu adalah ujian juga. Allah mahu melihat adakah mereka-mereka ini dari kalangan orang yang bersyukur?

"Orang kaya yang bersyukur dan membelanjakan hartanya di jalan Allah lebih disayangi"

Maka kita wajib memelihara iman dalam apa jua keadaan, samada ketika keadaan negara stabil, dikala dilanda musibah, dikala sihat ,dikala sakit, di kala kaya , dikala miskin, dikala bahagia dan dikala resah gelisah. Semua ini perlu dihadapi dengan penuh kesabaran dan keinsafan.